Takziah!! Kapten T-Team Rebah Di Padang dan Meninggal Dunia



Kota Bharu: Ketua pasukan T-Team, David Faramola Oniya, 29, meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung, malam tadi.

Perkara itu disahkan Ketua Pegawai Operasi T-Team, Syahrizan Mohd Zain ketika dihubungi, di sini.
Syahrizan berkata, Oniya meninggal dunia ketika sedang mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

“Oniya sebelum itu mengetuai pasukan untuk perlawanan persahabatan menentang Kelantan, di Stadium Sultan Muhammad IV, yang bermula jam 8.45 malam.
"Ketika permainan memasuki minit ketiga, dia tiba-tiba rebah dan terus dibawa ke hospital untuk rawatan kecemasan. Ketika itu, keadaannya 50-50.


"Permainan masih diteruskan sehingga kami menerima panggilan daripada Penolong Ketua Jurulatih Azahari Salim, memaklumkan Oniya sudah tiada, kira-kira 10 malam," katanya.

Beliau berkata, permainan diberhentikan serta merta pada minit ke 60 dan ketika ini pengurusan menunggu sehingga jasad mendiang selesai menjalani bedah siasat sebelum dihantar pulang.
Katanya, Oniya pemain kelahiran Nigeria meninggalkan seorang balu dan anak berusia tiga tahun yang berada di Russia.

"Sebelum ini, dia tidak pernah mengadu apa-apa sakit, melainkan pernah menjalani pembedahan kecil akibat retak tulang pipi kanan ketika perlawanan menentang Pulau Pinang, Februari lalu," katanya.

Sementara itu, Seorang lagi pemain T Team, Faizal Mohamad dimasukkan ke hospital sama selepas cedera di kepala akibat berlanggar dengan pemain import Kelantan, Gilmar Jose Dos Santos Filho, pada minie ke-70.

Akibat perlanggaran itu Faizal menerima enam jahitan dan dilaporkan stabil. Semua pemain T-Team pulang ke Terengganu, 11.30 malam tadi.
Perlawanan terbabit dimenangi Kelantan 3-2.

Share on Google Plus

About Marke Pen

    Blogger Comment
    Facebook Comment