Malang sekali pada acara penuh gilang gemilang yang menjadi antara majlis sosial eksklusif seperti itu, selebriti wanita yang hadir umpama hilang maruah apabila ada yang muncul bak ‘tanpa kain’ yang menutupi tubuh mereka.
Tidak dinafikan, setiap para selebriti yang hadir pada acara malam gala seperti itu akan memasang badan. Setiap inci tubuh - dari kepala hingga ke hujung kaki - diberi sentuhan terbaik agar penampilan anggun berseri termasuk diberi rawatan wajah dan kuku.
Malah ada yang akan memastikan tubuh mereka berada pada tahap paling indah (dengan bantuan senaman dan diet yang ketat) bagi memastikan busana yang disarung ke badan terletak dengan cantik.
Namun dalam keterujaan untuk hadir penuh anggun lagi memikat dan menjadi tumpuan, ada dalam kalangan artis yang lupa tentang jelik dan buruknya pakaian yang dipakai. Sekalipun adibusana itu rekaan pereka terkenal dunia.
Yang mereka mungkin mahu adalah untuk menonjolkan keindahan bentuk tubuh badan sehingga terlupa tentang tema yang dimaklumkan.
Jelik dan sakit mata memandang apabila melihat beberapa selebriti pujaan generasi muda hadir dengan keadaan keliru dengan fesyen yang dikenakan.
Ya, kita sedang bercakap tentang nilai moral busana yang digayakan oleh Beyonce, Kim Kardashian dan Jennifer Lopez (JLo) kerana nama-nama ini menjadi sebutan ekoran keberanian mereka mengenakan busana yang akhirnya menjadi bahan senda orang ramai.
Tentu sekali dalam majlis sebegitu, setiap selebriti mahu mencuri tumpuan. Cuma apabila Kim, Beyonce dan JLo hadir dengan modus operandi yang hampir sama, mereka kelihatan sangat ‘murah’, bukan lagi seksi (pujian yang mungkin mereka dambakan).
Mungkin masing-masing bijak merencana dan menggunakan aset untuk mencuri tumpun tetapi kemunculan mereka menjadi kutukan ramai terutama di laman sosial.
Kim, Beyonce dan JLo nyata gagal meraih pujian malah dianggap bersaing sesama sendiri siapa yang paling banyak menayang dan ‘menjual’ tubuh pada malam itu, jauh sekali menepati tema yang diberikan.
Sebagai seorang yang pandai berfesyen, tindakannya itu mengundang pertanyaan mengapa dia tergamak memakai perhiasan tersebut.
Sarah yang mengenakan busana daripada H&M bukan sahaja dianggap tidak kena malah dilihat lucu oleh penggemar fesyen dunia selain disamakan dengan watak-watak antagonis dalam filem animasi.
Tidak sahaja Sarah, Rihanna juga menerima respons yang sama daripada pemerhati dunia hiburan dan fesyen yang menganggap gaun kuning panjang ciptaan Guo Pei itu tidak ubah seperti melihat telur kuning yang tumpah di atas lantai. Kelakarnya, ada juga yang menyamakan pakaian itu dengan Big Bird Sesame Street.
Ya, betul, Rihanna adalah pemenangnya pada malam itu kerana berjaya mencuri perhatian menerusi busananya tetapi dalam cara yang memalukan. Selain itu, nama-nama besar seperti Lupita Nyong’o, Maggie Gyllenhaal, Katy Perry, Solange Knowles, FKA Twig, Alicia Keys, Lady Gaga, Miley Cyrus dan Amal Clooney juga gagal meninggalkan respons positif dalam gaya mereka.
Pendek kata, kalau pun mahu kena dengan tema, tidak semestinya busana itu harus berlebih-lebihan.
Konsep minimalis kadangkala lebih selamat dan cantik berbanding gaya yang keterlaluan.
Blogger Comment
Facebook Comment