“Saya Dapat Merasakan Jodoh Saya Dah Dekat" - Shaheizy Sam



Bintang Paling Popular 2014, Shaheizy Sam telah membuat pengakuan yang aktres Syatilla Melvin adalah wanita paling rapat dengannya buat masa ini.

Menerusi laporan Astro Gempak, Sam turut menambah yang dia tiada niat untuk merahsiakan hubungannya dengan aktres yang dikenalinya sejak 6 tahun lalu itu.

“Memang Syatilla wanita paling rapat dalam hidup saya sekarang. Bukan niat saya untuk merahsiakan hubungan kami, tetapi saya lebih selesa kami berkawan dahulu.

“Apa yang boleh saya katakan, Syatilla seorang wanita yang menyenangkan. Dia seorang yang sempoi, dengan sesiapa pun dia boleh ‘masuk’.

“Dia jenis yang ajak minum dekat kedai mamak pun tak kisah,” jelas Sam.

Bagaimanapun, Sam hanya tersenyum malu sewaktu ditanya sama ada Syatilla adalah wanita yang bakal menjadi suri hidupnya.

“Saya dapat merasakan jodoh saya dah dekat. Doakan yang terbaik. Jemputan akan diberikan selepas semuanya ‘confirm’.

"Buat masa ini, biarlah saya simpan dahulu siapa wanita yang bakal saya kahwini itu,” katanya ketawa.


Sam ditemui ketika penggambaran belakang tabir Polis EVO di Studio 16, Sunway Damansara pada petang Selasa.

Dalam pada itu, Sam atau nama sebenarnya Shaheizy Sam Abdul Samad, 33, akui terkilan apabila pernah dituduh kaki perempuan atau ‘playboy’ kerana kerap dikaitkan dengan beberapa artis wanita sebelum ini.

“Mula-mula dahulu sedih dan agak tertekan juga bila orang kata saya playboy. Tapi, saya positifkan diri sebab mulut orang kita memang tak boleh tutup.

“Contohnya ketika dikaitkan dengan Yana Samsuddin dan Fazura, saya lebih selesa mendiamkan diri kerana kalau saya cakap benda yang betul pun belum tentu orang percaya,” ujarnya mengakhiri perbualan.
Share on Google Plus

About Marke Pen

    Blogger Comment
    Facebook Comment