Pada isteri saya, “hal-hal kereta” bukanlah perkara yang menyeronokkan terutamanya sebab beliau memang tidak selesa mengotori tangan, bahkan yang lebih utama lagi sebab kurangnya pengetahuan tentang penyelenggaraan kereta. Segalanya diserahkan pada saya walaupun sebenarnya saya ni pun bukan pandai sangat pasal kereta.
Itu dulu.
Alhamdulillah, sedikit demi sedikit saya dan isteri sama-sama belajar. Tidaklah susah sangat sebenarnya.
1. Minyak bahan api (Petrol / Disel / NGV)
Ini perkara asas, tak payah fikir. Orang yang tidak memiliki kereta pun tahu minyak bahan api mesti ada untuk kereta bergerak. Tapi percayalah, saya kenal ramai wanita yang tidak pernah menuang minyak ke dalam tangki mereka sendiri dan tidak tahu bagaimana. Isteri saya sendiri, untuk lebih 10 tahun, sayalah yang mengisi penuh minyak ke dalam tangki sehari sebelum hari kerja bermula untuk beliau gunakan dan habiskan dalam seminggu bekerja. Begitulah berulang-ulang setiap minggu.
Kebanyakan kenderaan persendirian di Malaysia menggunakan petrol tapi ada juga yang menggunakan disel dan NGV. Pastikan bahan api yang betul. Dan pastikan anda kenal pasti mesin pam bahan api yang betul di stesen servis.
Ingat, adalah mustahak anda mengetahui bagaimana membuka penutup tangki dan mengepam minyak ke dalamnya. Mungkin suatu hari anda terpaksa juga menuang minyak sendiri. Jangan sampai kehabisan di tengah jalan.
2. Air di dalam tangki radiator
Buka hud kereta. Selalunya suis penarik (pembuka) hud ada di bawah “dashboard“ di sebelah pemandu.
Periksa sebelum kereta dihidupkan, kalau tidak melecur tangan nanti. Pastikan air yang cukup. Jika tidak, tambah saja dengan air paip.
Sekiranya anda biasa menghantar kereta untuk servis, pemeriksaan air radiator adalah perkara asas yang mesti dibuat. Walaupun begitu, anda juga mesti tahu untuk memeriksa sendiri, “in case” ada kebocoran yang menyebabkan air radiator kekurangan. Elok dilakukan pemeriksaan air radiator ini sekurang-kurangnya seminggu sekali.
3. Minyak hitam, transmisi & brek
Ini adalah penting. Tanpa minyak hitam yang mencukupi, enjin mungkin menjadi panas dan akan merosakkan enjin. Minyak transmisi yang tidak cukup mungkin akan menyebabkan kereta tidak bergerak dan minyak brek yang tidak cukup mungkin membahayakan nyawa anda akibat kenderaan tidak dapat dihentikan.
Untuk kereta yang agak berusia, pastikan anda memeriksa dengan lebih kerap. Walaupun mungkin anda menghantar kenderaan untuk servis setiap 3 bulan atau setiap 5,000 km, jangan tunggu sehingga masa servis baru anda harap mekanik periksa. Paling kurang anda perlu tahu samada minyaknya cukup atau tidak. Minyak hitam, transmisi atau brek yang surut agak mendadak mungkin menandakan adanya kebocoran. Itu sebab pemeriksaan sebegini penting, ini adalah penting demi keselamatan anda sendiri.
4. Tayar
Anda tahu menukar tayar? Walaupun anda mungkin tidak perlu menukar tayar sendiri kerana ada kad AAM atau sentiasa ada suami atau kawan-kawan yang boleh membantu, adalah baik sekiranya anda sendiri tahu bagaimana menukar tayar.
Juga pastikan tekanan tayar yang betul untuk tayar kereta anda. Pelajarilah bagaimana memeriksa tekanan tayar dan bagaimana mengepam tayar bila perlu.
Mengetahui perkara asas mengenai kereta sebegini boleh membuatkan seseorang wanita merasa lebih yakin dan merasa lebih selamat apabila memandu.
5. Insuran dan cukai jalan
Sebelum memulakan perjalanan pastikan insuran dan cukai jalan anda masih hidup dan sah. Lihat pada cermin depan anda, adakah cukai jalan anda masih belum tamat. Sekiranya sudah hampir luput, anda boleh memulakan proses pembaharuan insuran dan cukai jalan anda. Cukai jalan boleh diperbaharui seawal dua bulan sebelum tarikh tamat tempohnya.
Insuran dan cukai jalan adalah wajib bagi membolehkan kenderaan digunakan secara sah di jalanraya. Perkara ini hanya dibuat setahun sekali. Sesetengah orang mengambil cuti semata-mata untuk menguruskan pembaharuan insuran dan cukai jalan. Ya lah, hutang di bankkan ada lagi. Dapatkan insuran baru dari syarikat insuran, lepas tu pergi bank untuk bayar cukai jalan dan petangnya pergi semula ke bank untuk mengutip kembali cukai jalan yang sudah siap.
Blogger Comment
Facebook Comment