Tidak Sengaja "Pamer" Kekasih - Atikah Suhaime



Tiada niat mempamerkan kekasih di Instagram (IG) miliknya, pelakon Atikah Suhaime mengakui apa yang berlaku adalah tidak disengajakan.

Jika sebelum ini Atikah dilihat cukup berahsia dan tidak gemar berkongsi kisah kekasihnya yang difahamkan seorang juruterbang, kini peminat boleh melihat wajah buah hatinya itu di IG miliknya.
Menurut pelakon berusia 24 tahun itu, tiada niat menunjukkan kemesraan dengan sang kekasih, namun apabila bergambar beramai-ramai pasti wajah buah hatinya ada sama.

“Mungkin apa yang berlaku tidak disengajakan. Memang dari dulu saya tidak suka mempamerkan kekasih di hadapan umum apatah lagi berkongsi kisah peribadi.
“Bukan apa, bimbang orang bosan jika asyik kisah cinta diperkatakan sedangkan yang patut dikongsi adalah perkembangan karier.

“Saya juga tidak mahu niat asal tersasar. Tujuan datang ke Malaysia adalah untuk mencipta nama sebagai pelakon dan bukan mencari kontroversi,” katanya ketika ditemui pada sesi pelancaran drama terbaru berjudul Puteri Gunung Ledang.

Atikah berharap perkara itu tidak diperbesar-besarkan dan berilah ruang kepadanya menumpukan perhaitan terhadap kerjaya.

Mengulas perihal karier, Atikah bersyukur apabila kehadirannya makin diterima bahkan tawaran berlakon semakin murah. “Alhamdulillah, orang sudah mula nampak bakat saya. Walaupun masih hijau dalam bidang ini, rezeki saya tidak putus.

“Lebih menggembirakan apabila saya dapat melakonkan pelbagai watak. Mungkin sudah sampai masa saya berpindah ke sini. “Sebelum ini saya berulang-alik dari Singapura ke Kuala Lumpur. Harap dengan berpindah memudahkan urusan kerja saya,” katanya.

Atikah tidak ketinggalan berkongsi seronok terbabit dalam penggambaran Puteri Gunung Ledang kerana berpeluang melakonkan watak gadis kampung berperwatakan kasar buat pertama kalinya.

“Senang berlakon di bawah arahan Suhaimi. Dia tidak lokek ilmu dan selalu membantu pelakon.
“Ini kali pertama saya bawa watak ‘tomboi’ dan ia jauh berbeza dengan keperibadian sebenar saya.
“Bergandingan dengan Ammar Alfian juga satu pengalaman baru buat saya. Drama ini dijayakan ramai pelakon lelaki berbakat besar malah penyanyi Sabhi Sadhi pun ada sama,” katanya.

Share on Google Plus

About Marke Pen

    Blogger Comment
    Facebook Comment