Punca Sebenar Jongkong Emas Bernilai RM600,000 Lesap Di Tasik Titiwangsa



Kuala Lumpur: Sekumpulan pekerja yang membawa dua ketulan emas dianggarkan bernilai lebih RM600,000 disamun empat lelaki menaiki dua kereta di Jalan Taiping, berhampiran Taman Tasik Titiwangsa, petang semalam.

Ketika kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, kereta dinaiki kumpulan pekerja seramai lima orang itu dipercayai dipintas sebuah daripada kereta dinaiki empat lelaki terbabit sebelum mereka memecahkan cermin kereta mangsa menggunakan sebatang besi.

Sebaik mengugut semua mangsa, lelaki terbabit terus membawa lari beg berisi ketulan emas berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Zainuddin Ahmad yang mengesahkan kejadian itu berkata, polis menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki sebelum sepasukan polis diarahkan ke lokasi untuk menjalankan siasatan.

“Mangsa terdiri daripada lima lelaki tempatan yang dikatakan pekerja sebuah syarikat menjual emas dan difahamkan mereka dalam perjalanan menghantar ketulan emas itu kepada pelanggan,” katanya.
Zainuddin berkata, berat sebenar ketulan emas itu belum diperoleh dan siasatan lanjut berhubung kejadian itu masih dijalankan termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian. Katanya, saksi kejadian yang ada maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil membantu siasatan.

Pada 19 April lalu, Harian Metro melaporkan dua pekerja syarikat menjual emas berputih mata apabila sekumpulan lelaki menyamun ketulan emas bernilai RM3 juta yang dibawa mereka menaiki sebuah teksi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam di Jalan Raja berhadapan Bangunan Sultan Abdul Samad itu, suspek hanya menggunakan alat pemadam api yang disembur ke arah cermin hadapan teksi untuk memaksa pemandu berhenti.

Suspek kemudian membuka pintu belakang dan mengacukan parang terhadap kedua-dua mangsa sebelum membawa lari beg berisi ketulan emas yang ingin dihantar kepada pelanggan di sebuah pusat beli belah di sini.

Share on Google Plus

About Marke Pen

    Blogger Comment
    Facebook Comment