Tahan sakit lebih lapan jam
ROSALWANI CHE SOH
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Ismadi Mohamad Taib berkata, pihaknya menerima panggilan dari HUSM pada jam 1.39 pagi dan berjaya mengeluarkan cincin dari jari kanak-kanak itu, jam 1.53 serta selesai pada jam 2.15 pagi.
KOTA BHARU - Seorang murid tahun enam di Kampung Kubang Keranji, Pasir Tumboh di sini terpaksa menahan sakit lebih lapan jam selepas cincin milik kakaknya yang dipakai di jari manis gagal ditanggalkan dalam kejadian kira-kira 6 petang.
Mangsa, Hanis Farisya Zakaria, terpaksa dibantu anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu dengan guna pemotong khas bagi mengeluarkan cincin jenis keluli di jari manis kanak-kanak itu.
Ibu mangsa, Sharifah Ramlah, 45, berkata, anak kelima dari lapan beradik itu, pada mulanya mencuba cincin kakak keduanya, Hazara Zakaria, 23, yang disimpan dalam laci di bilik.
“Dia hanya cuba suka-suka dan selepas memakai cincin itu di jari manis tangan kanannya, dia kemudiannya cuba mengeluarkan cincin itu untuk menunaikan solat Asar.
“Namun cubaannya untuk mengeluarkan cincin itu gagal walaupun menggunakan minyak urut serta sabun, sehinggalah saya menyuruh suami, Zakaria Jaafar, 48, untuk memotong cincin berkenaan menggunakan gergaji kayu namun cubaan terbabit masih gagal,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya semalam.
Sharifah berkata, melihatkan keadaan Hanis yang menangis teresak-esak akibat menahan kesakitan yang teramat sangat, dia minta adik iparnya, membawanya ke hospital untuk rawatan susulan.
“Anak saya tiba di hospital pada jam 10 malam dan seterusnya dibawa ke bilik kecemasan untuk rawatan susulan.
“Doktor berusaha mengeluarkan cincin berkenaan dari jari manisnya menggunakan benang namun tidak berjaya dan turut meminta pertolongan anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) yang berkawal di luar bilik kecemasan tetapi masih tidak berhasil,” katanya.
Sharifah berkata, sehinggalah, doktor menghubungi anggota bomba dari balai Kota Bharu kira-kira jam 1.30 pagi, barulah cincin berkenaan dapat dikeluarkan dari jari manis kanan Hanis.
Hanis ketika ditemui masih terkejut dengan kejadian itu, namun bersyukur cincin berkenaan dapat ditanggalkan dari jari manisnya.
“Saya hanya suka-suka, tidak sangka cincin itu lekat di jari dan tidak dapat ditanggalkan. Memang serik lepas kejadian itu,” katanya.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Ismadi Mohamad Taib berkata, pihaknya menerima panggilan dari HUSM pada jam 1.39 pagi dan berjaya mengeluarkan cincin dari jari kanak-kanak itu, jam 1.53 serta selesai pada jam 2.15 pagi.
Gambar : Hanis menunjukkan jari manis belah kanan yang bengkak akibat cincin berkenaan gagal dikeluarkan dalam kejadian 6 petang kelmarin.
Blogger Comment
Facebook Comment